[Laman Utama]..[Koleksi Soalan BM]..[Bahan P&P BM]..[Link Akhbar Harian]..[Bank Soalan PMR]..[Bank Soalan SPM]

12 November 2009

SINOPSIS BUKIT KEPONG (BAB 6 - BAB 11)



Bab 6 : Serangan
..........Pada 21 Februari 1950, suasana di Bukit Kepong sangat meriah. Ramai yang pulang ke kampung. Walau bagaimanapun, anggota polis tetap berwaspada. Hari ini, OCPD Pagoh, Inspektor J.J. Raj Juniar telah mengadakan lawatan dan mendengar taklimat tentang keselamatan. Pada waktu itu pihak pengganas di bawah pimpinan Lektuan telah bersiap sedia untuk menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.
..........Pengganas komunis telah mengatur strategi dengan menggunakan 180 ahli. Sebanyak tiga pasukan ditubuhkan; pasukan penggempur, pasukan senjata automatik, pasukan propaganda. Mereka juga mewujudkan pasukan penghalang untuk menghalang kemaraan pasukan bantuan kerajaan. Keesokannya, Lektuan mengarahkan pasukan yang ditubuhkan itu menjalankan tugas seperti yang telah diarahkan. Pengganas komunis berkhemah tidak jauh dari Kampung Durian Chondong. Pada malamnya, suasana Bukit Kepong terus meriah apabila mercun dan bunga api dipasang.
..........Pada malam itu, Tucksai dan Ahmeng diarah memperdaya ketua rumah pasung, Sarjan Jamil supaya keluar dari rumah pasung tersebut untuk dibunuh. Untuk tujuan tersebut, Tucksai dan Ahmeng membuat laporan palsu tentang kematian anak Ahmeng yang terjatuh ke dalam perigi dan disyaki mati. Mereka berdua meminta Sarjan Jamil menyiasat pada malam itu juga. Anggota polis agak ragu-ragu terhadap laporan tersebut kerana kedua-dua lelaki Cina ini tidak pernah dilihat. Akhirnya hasrat memperdaya anggota polis tidak tercapai.
..........Tanpa disedari oleh penduduk dan pengawal, selepas membuat laporan, kedua-dua lelaki Cina itu berjaya menyusup hingga ke sisi pagar rumah pasung. Ketika itu anjing menyalak, tetapi anggota polis tidak menduga sebarang kemungkinan buruk. Selepas dua jam mereka menunggu, kira-kira jam 4.00 pagi, Sarjan Jamil masih belum keluar untuk menyiasat. Akhirnya, Chanfei mengarahkan pasukan penggempur untuk mengambil tempat. Mereka bergerak secara kombat. Ketika itu penghuni rumah pasung sedang tidur lena, manakala pengganas komunis mula mengatur rancangan untuk menyerang.
Bab 7 : Ledakan
..........Kira-kira jam 4.00 pagi, seorang pengawal telah ternampak kelibat musuh di luar pagar. Namun, sebelum maklumat itu dimaklumkan kepada rakan-rakan setugas, pengganas sudah melepaskan tembakan bertalu-talu dari tiga penjuru. Anggota polis yang berkawal segera mengambil kedudukan. Proses tembak-menembak yang berlaku antara anggota polis yang berkawal dan pengganas komunis tersebut telah menyebabkan penghuni rumah pasung terkejut. Anggota yang tinggal di rumah kelamin segera mempertahankan diri walaupun ditegah oleh isteri masing-masing. Sarjan Jamil mula mengarahkan anggotanya mengawal keadaan. Disebabkan serangan demi serangan tanpa henti, beberapa anggota telah terkena tembakan, antaranya AP Osman Yahya dan Jaafar Arshad.
..........Namun, serangan yang berterusan itu pada awalnya tidak dapat didengar oleh pengawal di Kampung Tui, tempat kediaman Penghulu Ali. Apabila menerima makluman tentang serangan tersebut, tanpa berlengah, Penghulu Ali segera mengumpulkan semua pengawal dan mereka segera bergerak menuju ke Bukit Kepong. Usaha dan hasrat untuk menamatkan serangan tidak tercapai. Madera meminta anggota polis menyerah diri, namun pasukan polis terus membalas tembakan. Ini menyebabkan pengganas komunis meneruskan serangan.

Bab 8 : Pertahanan
..........Pengganas masih lagi meneruskan serangan. Mereka belum berjaya memasuki kawasan rumah pasung. Sedang Yusof Rono dan Ahmad Khalid berbalas tembakan dengan pengganas komunis daripada kubu bawah, Yusof Rono telah terkena tembakan di bahagian bahu kirinya. Dia meminta bantuan daripada rakan seperjuangannya yang lain untuk memberikan pertolongan di bahagian kubu bawah. Beberapa anggota polis telah mati ditembak, seperti Muhamad Jaafar dan Ali Akop.
..........Kemaraan Penghulu Ali dan orang-orangnya yang datang untuk memberikan bantuan telah terbantut dek hujan peluru oleh pihak pengganas komunis yang menyerang dari arah semak dan celah-celah pokok getah. Mereka masih lagi tersekat di pinggir kampong dan gagal untuk memberikan bantuan. Seorang daripada anak buah Penghulu Ali telah ditembak mati.
..........Pada jam 6.00 pagi, keadaan tanah mulai terang. Bayang-bayang musuh dan pihak polis sudah boleh dilihat. Madera sekali lagi meminta anggota polis supaya menyerah diri. Namun, pasukan polis tidak sesekali bercadang untuk menyerah. Pertahanan anggota polis mula rapuh. Ketika itu, kebanyakan anggota polis telahpun gugur dan yang tinggal hanyalah beberapa orang sahaja seperti EPC Mohd Top Lazim, Othman Yusof, dan Lans Koperal Jidin Omar. Isteri anggota polis yang bertahan di berek pula masih lagi selamat.

Bab 9 : Detik Cemas
..........Berita serangan pengganas komunis terhadap Rumah Pasung Bukit Kepong telah dimaklumkan kepada Ketua Polis Muar dan pegawai Daerah Muar. OCPD Pagoh dan pasukan jungle squad bergerak menuju ke Bukit Kepong. Ketika itu, pengganas sudah berjaya masuk ke kawasan berek. Pengganas mula menggunakan bom tangan, melemparkannya ke arah anggota polis yang sedang mempertahankan diri. Ahmad Khalid cedera setelah terkena serpihan bom itu. Lausan mengarahkan Madera untuk mendapatkan anggota polis yang berada dalam berek. Madera dan kumpulannya menjalankan tugas mereka dan mereka terjumpa dengan ahli keluarga polis lalu mengheret mereka keluar.
..........Sementara itu, Mariam Ibrahim merayu kepada Madera untuk mencari suaminya, Muhammad Jaafar. Dia diherdik beberapa kali namun dia tetap berdegil untuk mendapatkan mayat suaminya. Muhammad Jaafar pada ketika itu masih mempunyai pernafasan yang amat lemah, nyawa-nyawa ikan. Dia meninggalkan dunia ini di sisi isteri dan anak-anak kesayangannya. Lans Koperal Jidin Omar yang sedang bertahan menentang pengganas komunis pula terkena peluru dan hal ini menyebabkan dia cedera parah.
..........Seterusnya pengganas membakar rumah pasung. Othman dan Mohd Top Lazim terperangkap. Untuk menyelamatkan diri, Othman lari dari kepungan itu lalu terjun ke sungai berselindung di dalam bot. pengganas terus mengejar Othman dan Othman bergerak ke tebing dan berselindung pada seperdu pohon. Pengganas tidak jadi membunuh Yusof Rono dan Ahmad Khalid kerana menyangka kedua-dua anggota polis itu sudah mati. Keseluruhannya, pengganas seramai 180 orang, Berjaya menguasai rumah pasung yang dipertahankan oleh 18 anggota polis itu.

Bab 10 : Saat Terakhir
..........Pengganas meninggalkan Rumah Pasung Bukit Kepong kira-kira jam 8.00 pagi. Ahli keluarga polis dibiarkan begitu sahaja. Mereka meratapi mayat insan yang tercinta dengan perasaan duka dan sedih. Othman yang bersembunyi di dalam sungai, setelah memastikan pengganas komunis telah meninggalkan kawasan tersebut merangkak ke tebing. Othman cuba meminum air tetapi ditegah oleh Mariam kerana air di dalam itu telah dimasukkan racun oleh Madera. Penghulu Ali dan orang-orangnya pula hanya berjaya memasuki kawasan itu selepas pengganas meninggalkan kawasan tersebut. Mereka memadamkan kebakaran, mengangkat mayat, dan mangsa yang tercedera.
..........Pasukan penyelamat yang diketuai oleh OCPD Pagoh tiba dan mereka turut membantu menyelamatkan mangsa. Pada maghribnya pula, anak-anak buah Penghulu Ali berkumpul di masjid Bukit Kepong mengadakan tahlil, bacaan Al-Quran serta membaca yasin secara berterusan dan bergilir-gilir sehingga subuh. Setelah selesai solat Subuh sebahagian daripada mereka telah diarahkan untuk menggali 23 liang lahad bagi mengebumikan mayat anggota polis yang terkorban.
..........Pada 24 Februari 1950, jam 7.00 pagi, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Jaafar dan rombongannya menuju ke pekan Lenga dan telah diberikan taklimat tentang peristiwa yang berlaku. Beliau telah bersolat zuhur bersama-sama penduduk kampung dan menyembahyangkan mayat pahlawan yang telah siap dikafankan. Satu demi satu keranda diturunkan ke lubang liang lahad dan dikambus rapat. Imam masjid membacakan talkin dan doa. Dato’ Onn Jaafar berangkat pulang setelah selesai upacara pengebumian.

Bab 11 : Terlantar
..........Othman dan rakan-rakannya yang cedera telah dirawat di Hospital Muar. Dia berusaha untuk menerima rawatan di Alor Setar, berhampiran kampong isterinya, tetapi tidak berjaya. Di Kulim, berita serangan pengganas komunis terhadap Rumah Pasung Bukit Kepong telah tersebar luas. Polis Kulim ke rumah keluarga Pak Yusof dan memaklumkan bahawa Othman telah terkorban dalam serangan tersebut. Limah yang baru sahaja melahirkan anak dan masih berada dalam pantang itu terkejut dan menyebabkan fikirannya terganggu, sedikit sebanyak semakin sasau.
..........Dua minggu kemudian, Othman yang telah mula sembuh dibenarkan keluar. Dia diberi cuti selama sebulan untuk pulang ke kampungnya. Keluarganya amat terperanjat apabila mendapat tahu Othman masih hidup. Namun, perasaan sedih menghantui dirinya apabila mengetahui keadaan isterinya yang tercinta itu.
..........Sekembalinya bertugas di Muar, dia mendapat sepucuk surat dari OSPC yang mengatakan bahawa dia ditukarkan ke Alor Setar. Dalam perjalanannya ke Alor Setar, dia tidak singgah sebentar di Kulim sebaliknya terus melaporkan diri ke tempat kerjanya itu. Dia diberikan tugas-tugas ringan sahaja sebelum dia pulih sepenuhnya daripada kecederaannya.
..........Othman menerima sepucuk surat daripada bapanya mengatakan bahawa keadaan Limah semakin teruk terpaksa menerima rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan. Othman serta merta menyerahkan surat letak jawatan pada keesokan harinya.
..........Sehingga tahun 1954, Othman masih boleh menoreh getah di samping mengajar kawad dan cara menggunkan senjata kepada pasukan home guard di Kulim. Namun, apabila doktor memberitahu bahawa kakinya perlu dipotong untuk menyelamatkan nyawanya, dia tidak membantah. Dia terlantar selama dua minggu di hospital dan dia bergerak dengan dibantu tongkatnya dahulu.
.

No comments:

Post a Comment