[Laman Utama]..[Koleksi Soalan BM]..[Bahan P&P BM]..[Link Akhbar Harian]..[Bank Soalan PMR]..[Bank Soalan SPM]

14 January 2010

CONTOH RUMUSAN SPM 1



Contoh Rumusan Lengkap 1:

Baca petikan yang diberi di bawah, kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dan kesan-kesannya. Panjang rumusan tidak boleh lebih 120 patah perkataan.
___________________________________________________________________
..........Kebanyakan media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Kebanyakan daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah dalam sektor pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah. Kedatangan golongan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif khususnya dalam segi pekerjaan penduduk tempatan dan pembangunan negara. Sebab utama mereka bertumpu ke negara kita adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal mereka.
...........elain itu, matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak pekerjaan yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang menetap di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang aman dan makmur, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat berbeza sekali dengan keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang kerap berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru, walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang kebanjiran pendatang asing ini, namun jumlah mereka semakin bertambah.
..........Selain faktor di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di Malaysia. Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih rendah berbanding dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap pekerja tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi. Lebih menyulitkan keadaan, ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan kepada pekerja asing sehingga menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini menyebabkan pendatang asing berasa selamat bekerja di sini walaupun sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap negatif penduduk tempatan ini telah banyak menyebabkan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit menemui kegagalan.
..........Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan, keadaan pantainya yang terlalu luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad. Sebagai contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menjadi kawasan pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia. Tambah merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran pekerja asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan rondaan dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang memasuki negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan rondaan yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian besarnya menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
Oleh sebab jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah, penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut, kerajaan turut menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan terhadap pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan di pusat-pusat tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal mereka. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan negara.
___________________________________________________________________
Contoh Jawapan Rumusan 1:

..........Petikan membincangkan sebab-sebab yang mendorong Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing.
..........Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing disebabkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal. Selain itu, mereka berkunjung ke Malaysia kerana banyak pekerjaandi sini memberi pendapatan yang tinggi. Pada Masa yang sama, negara kita yang aman, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Faktor lain yang menggalakkan kedatangan mereka ialah permintaan yang tinggi terhadap buruh asing oleh majikan di Malaysia. Faktor yang turut mempengaruhi kehadiran mereka ialah ada pihak di negara kita memberi perlindungan kepada pekerja asing. Pantai Malaysia yang panjang juga menyukarkan pemantauan pekerja asing dilaksanakan.
..........Kehadiran mereka telah menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan semakin terbatas. Malahan, jenayah membabitkan golongan ini semakin berleluasa di Malaysia.
..........Kesimpulannya, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas agar jumlah pekerja asing dapat dikurangkan.
(121 patah perkataan)




Contoh Rumusan Lengkap 2:
Rumuskan punca lambakan barangan tiruan di Malaysia dan langkah mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
____________________________________________________________________

..........Barang-barang terkenal terutamanya yang berjenama terkenal telah berada di pasaran tempatan sejak beberapa tahun yang lalu. Gejala ini berterusan kerana memiliki barangan berjenama terkenal menjadi idaman kebanyakan orang yang mengutamakan prestij. Namun begitu, bukan semua orang mampu memiliki barangan yang berjenama kerana harganya yang mahal. Untuk memenuhi tuntutan kemahuan tersebut, maka segelintir anggota masyarakat beralih kepada barangan tiruan. Mereka berpendapat mutu barangan ciplak itu tiada bezanya daripada kualiti barangan asli.

..........Penimbunan barangan tiruan itu disokong oleh pasaran globalisasi yang memudahkan barangan berkenaan memasuki negara kita. Barangan tiruan ini biasanya dibawa masuk melalui pintu sempadan dan pelabuhan dalam dua bentuk iaitu, separuh siap atau siap sepenuhnya. Barangan separuh siap akan melalui proses pembungkusan dan pelebelan sebelum memasuki pasaran. Dengan kemudahamn logistik, barangan ini dapat dihantar oleh pengedar ke sesuatu destinasi dengan cepat dan mudah. Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan terbang menjadi satu cabaran kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti isinya. Keadaan ini bertambah rumit apabila para pengimport membuat perisytiharan palsu terhadap barangan itu. Kaedah lain yang digunakan oleh golongan tidak bertanggungjawab ini antaranya adalah melalui penghantaran cepat dengan perkhidmatan bas ekspres atau kereta api. Malah kecanggihan teknologi kini mengizinkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui talian laman web yang dilayari oleh pelanggan.

..........Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan dibuat secara tunai tanpa sebarang resit. Oleh itu, apabila serbuan dibuat ke atas penjual, maka pembekalnya tidak dapat dikesan. Sekalipun dikenali pembekalnya namun penjual tidak berani memaklumkannya kepada pihak berkuasa tentang identiti pembekalnya kerana hal ini membabitkan kegiatan sindiket dan mengancam nyawa mereka. Bagi para pengguna pula, mereka sukar membezakan antara barangan tiruan dengan barangan asli. Lebih-lebih lagi dengan penggunaan mesin canggih yang dapat menghasilkan bahan tiruan yang hampir menyerupai barangan tulen. Pada masa ini, barangan tiruan yang paling banyak di pasaran ialah pakaian, makanan, ubat-ubatan, alat ganti kenderaan, alat komunikasi, cakera optik dan perisian kompeter. Barangan ini laris di pasaran atas kecenderungan sebahagian pengguna yang tidak memperdulikan ketulenannya asalkan barangan itu berjenama dan murah.

..........Penjualan barangan tiruan kian berleluasa kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak. Oleh sebab itulah kita dapati sekalipun barangan itu dirampas hari ini, namun keesokan harinya mereka boleh beroperasi semula kerana sumbernya mempunyai rangkaian perniagaan besar yang boleh bertukar ganti dan stok barangan tersebut mungkin berada di mana-mana sahaja.
____________________________________________________________________
Contoh Jawapan Rumusan 2:
..........Petikan membincangkan faktor yang menyebabkan lambakan barang-barang tiruan di Malaysia.
..........Punca lambakan barang-barang tiruan di Malaysia ialah golongan yang tidak berkemampuan ingin memiliki barangan berjenama dengan memilih barangan tiruan. Selain itu, pasaran globalisasi memudahkan barangan tiruan memasuki Malaysia. Pada masa yang sama, teknologi terkini mengizinkan pesanan dan bayaran dibuat melalui talian laman web. Malahan, kegiatan pengedaran barangan tiruan boleh dibuat secara tunai menyebabkan serbuan dibuat menemui kegagalan. Faktor lain ialah pengguna sukar membezakan di antara barangan tiruan dengan barangan asli kerana bentuknya yang hampir sama. Faktor terakhir ialah penjualan barangan tiruan dilindungi oleh sindiket besar.
..........Untuk mengatasinya, tindakan undang-undang yang tegas dikenakan kepada semua pihak yang terlibat. Masyarakat juga boleh melaporkan jenayah ini kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut.
..........Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama agar masalah pengedaran barang-barang tiruan dapat dibanteras.
.....

6 comments: